Masjid Selat Melaka


Malacca Straits Mosque

Masjid Selat Melaka ini antara destinasi menarik yang patut dikunjungi jika anda bertandang ke negeri Melaka. Juga dikenali sebagai Masjid Terapung kerana Masjid ini seolah-olah terapung apabila air pasang. Menjadi salah satu tempat kegemaran para jurugambar tidak kira tempatan atau negara luar.


Masjid Selat merupakan masjid yang terbaru dan terkini di MelakaIanya dibina di Pulau Melaka dan terletak di tepi Selat Melaka yang merupakan selat tersibuk dan terpanjang di dunia.

Pembinaan Masjid Selat ini menelan belanja hampir RM11 juta, dibina diatas tapak berkeluasan 1.8 hektar. Masjid Selat ini pastinya mempunyai karekter dan senibina yang unik seperti juga masjid-masjid lama tersohor di Melaka.

Peruntukan sebanyak RM7 Juta juga diberikan oleh Kerajaan Persekutuan bertujuan sebagai pelengkap kepada RM11 Juta. Untuk pengetahuan anda, Masjid Selat ini boleh menampung
 kapasiti lebih kurang 2,000 jemaah pada satu-satu masa.

Selat Melaka Selat Terpanjang dan Tersibuk di Dunia...

Pembinaannya bermula pada Jun 2003 dan berakhir sepenuhnya pada 29 Ogos 2006. Ia dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail pada 24 November 2006.

Untuk pengetahuan anda juga, Masjid Selat ini dibina di tengah-tengah kawasan pusat perniagaan di Bandar Hilir. Merupakan satu mercu tanda terkini di negeri Melaka ini selain menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri Melaka yang komited dalam meningkatkan syiar Islam.

Yang menariknya Masjid Selat ini ialah ianya dibina di atas permukaan laut di dalam kawasan Pulau buatan yang diberi nama Pulau Melaka.

Dari segi senibina yang ditonjolkan, Masjid Selat mempunyai senibina yang amat menarik, unik dan cukup berbeza berbanding masjid-masjid lama tersohor di negeri Melaka. Menurut Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Masjid Selat hampir mirip kepada sebuah masjid terapung di Jeddah, Arab Saudi.

Dan yang menariknya, masjid tersebut merupakan cetusan idea daripada Datuk Seri Mohd Ali Rustam sendiri yang pernah menyertai lawatan ke Jeddah suatu masa dahulu.

Suasana ketenangan dan kedamaian di Masjid Selat cukup membuatkan hati anda terusik. Lebih terasa ketenangan apabila anda bersolat di dalamnya, diselangi dan disulami hembusan bayu Selat Melaka yang pasti menenangkan jiwa.

Diantara yang dominan pada masjid ini sudah pastinya menaranya yang setinggi 30 meter itu. Menara yang terletak di sebelah kiri pintu gerbang Masjid Selat itu bukan hanya sekadar untuk mengumandangkan azan sahaja. Sebaliknya, ianya mempunyai dwifungsi iaitu sebagai Rumah Api.

Cahaya amaran diberikan melalui menara itu kepada kapal-kapal dan perahu-perahu yang melalui Selat Melaka itu. Selain itu, ia juga bertindak sebagai panduan kepada pesawat yang terbang di ruang udara.

Dari segi senibinanya pula, ianya cenderung memartabatkan konsep senibina Melayu. Konsep utama rekaan dalam Masjid Selat ini ialah elemen batang buluh yang pangkalnya dibelah dua dan membentuk beberapa bahagian.

Penggunaan empat kubah kecil yang terletak di setiap penjuru mengapit kubah yang besar. Di bawah kubah yang besar ini terletaknya Dewan Besar Solat yang berukuran 24 meter diameter.

Banyak lagi sebenarnya keunikan Masjid Selat ini untuk kami kupaskan dengan panjang lebar seperti seni kaligrafi, seni muqarnas dan sebagainya. Tidak lengkap jika anda bercuti ke Melaka tapi tidak berkunjung ke Masjid Selat.  


Masjid Selat Melaka di waktu malam...

Berkunjunglah ke Melaka. Anda tidak akan rugi jika bercuti ke Melaka Bandaraya Warisan Dunia!

@gotomelaka.blogspot.com

No comments:

Post a Comment